
Kisah Peneroka Bandar Dilupai Kerajaan
( Kes Kampung Berembang)
Kampung Berembang yang terletak di Jalan Ampang diduduki oleh lebih 50 keluarga selama 30-40 tahun. Pada 4/10/06 penduduk Kampung Berembang telah membawa masalah mereka ke pengetahuan YB Menteri Ong Kah Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di mana YB telah menjanjikan mereka untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan YB Menteri Besar Selangor memandangkan Menteri Besar sahaja yang mempunyai kuasa ke atas isu tanah. Pada asasnya, YB Menteri telah bersetuju bahawa pengusiran harus dihentikan sehingga satu rundingan dijalankan antara peneroka, Menteri Besar Selangor dan pemaju.
Pada 14/11/06 pula, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menangguhkan kes mereka ke 30 April 2007. Sebaik sahaja kes telah ditangguhkan ke 30 April 2007, penduduk kampung telah diberi notis pada bulan 15/11 untuk keluar dari kampung mereka. Dua hari sahaja yang diberikan kepada penduduk kampung untuk berpindah. Akan tetapi, tiada rumah alternatif ditawarkan. Hanya rumah sewa ditawarkan, itupun di Puchong, lebih 30km jauh dari kawasan asal. Pihak pemaju bersama lebih 200 pegawai Majlis Perbandaran Ampang Jaya(MPAJ), termasuk pegawai dari Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya, RELA dan Polis telah mencerobohi Kampung Berembang pada 17/11 dan telah merobohkan 3 buah rumah penduduk.
Pada 20/11, kampung ini telah diceroboh oleh pemaju Perspektif Masa Sdn Bhd, Cahaya Kelang Construction dengan bantuan MPAJ, polis dan FRU. Dalam keadaan kes di mahkamah, dan projek perumahan kos rendah Berembang terbengkalai, kerajaan bersubahat dengan pihak pemaju datang sekali lagi dan merobohkan semua rumah tanpa perikemanusiaan. Sebanyak 23 orang telah ditahan oleh polis semasa perobohan berlaku. Sebenarnya pada tahun 2003, penduduk kampung telah dijanjikan rumah kos rendah yang akan diusahasama oleh Pemodalan Negeri Selangor Berhad, Acmar International dan Perspektif Masa Sdn Bhd. Rumah kos rendah ini adalah berhampiran dengan Kampung Berembang. Akan tetapi, sehingga kini projek perumahan itu masih terbengkalai dan pihak pemaju tidak mengambil apa-apa langkah untuk menyiapkan projek rumah kos rendah tersebut. Oleh kerana pihak pemaju, MPAJ dan kerajaan negeri Sel tidak menunaikan tuntutan penduduk kampung, maka injuksi diambil oleh penduduk kampung pada 6/3/2006 dan injuksi itu tamat pada 14/11/2006. Penduduk telah mengambil kes demi memperjuangkan hak ke atas tanah yang diduduki dan menuntut pampasan yang adil serta peluang membeli rumah murah yang berharga RM 35000 di mana jarak rumah baru tidak lebih 4km dari kampung mereka.
Dalam perjumpaan itu pada 2/11/06,, wakil Kampung Berembang telah mengemukakan masalah projek perumahan yang ditawarkan belum siap tetapi rumah sudah mahu diroboh. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Datuk Ramli telah berjanji akan membuat siasatan terhadap projek perumahan dan bersetuju akan mensyorkan kepada kerajaan negeri untuk membenarkan mereka tinggal di kampung tersebut jika projek perumahan itu dijangka siap dalam masa satu tahun. Namun, apa yang menyedihkan sehingga hari ini, pihak SUK tidak memberi sebarang respons dalam kes ini. Kejam sekali lagi pada 30/11! Setelah berjaya merobohkan Surau Al-Rahmaniah, Kampung Berembang pagi tadi, pihak MPAJ sebentar tadi bertindak pula merobohkan khemah-khemah penduduk yang dibina sejak 20 November lalu. Wakil penduduk Kampung Berembang, Qasim Abdul Aziz menjelaskan, bahawa selepas pihak penguatkuasa dijamu makan oleh pihak pemaju pada tengahari tadi, khemah-khemah yang didirikan telah dirobohkan tanpa belas kasihan langsung. Tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh pihak MPAJ ketika ini jelas melambangkan si- kap tidak berperikemanusiaan dan simpati kepada para penduduk yang telah kehilangan rumah. Kini, penduduk Kampung Berembang tetap mempertahankan hak mereka di kampung asal dengan membina balik rumah dan khemah. Rumah boleh diroboh, tetapi hal ini memperlihatkan bahawa rakyat akan bangun dan perjuangan akan diteruskan.
(Petikan dari Dema Newsletter)
Labels: Akhbar GMM ms1